Sunday, 16 December 2012

Filled Under:

Deejay radio terima ancaman bunuh



GAMBAR fail menunjukkan Christian (kiri) dan Greig meninggalkan sebuah studio televisyen di Sydney pada Isnin lalu.- REUTERS


SYDNEY, Australia – Dua penyampai stesen radio 2Day FM, Mel Greig dan Michael Christian menerima ancaman bunuh selepas mereka menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera Charles, kata polis semalam.
Sebagai reaksi segera, pihak pengurusan stesen itu dilaporkan telah memindahkan beberapa orang kakitangan ke tempat yang lebih selamat.
Ugutan itu diterima selepas inkues bagi menyiasat kematian jururawat yang menyambung panggilan kedua-dua penyampai radio itu, Jacintha Saldanha, 46, diberitahu kelmarin bahawa dia ditemui menggantung diri di kediaman Hospital King Edward VII di London.
Inkues yang berlangsung di Mahkamah Koroner London itu tidak dihadiri oleh suami Saldanha dan dua anaknya tetapi perbicaraan kes berkenaan disambung pada tahun depan.
Saldanha ditemui mati pada 7 Disember lalu, tiga hari selepas menyambung panggilan kepada rakan setugasnya yang mendedahkan berita mengenai tahap kesihatan isteri Putera William, Kate Middleton.
Kate sebelum ini dilaporkan loya ekoran kehamilannya dan di dirawat di hospital tersebut selama empat hari.
William ialah cucunda ratu tersebut.
Saldanha yang berketurunan India turut mempunyai kecederaan di pergelangan tangan dan meninggalkan tiga keping nota.
Polis Australia telah melancarkan siasatan ke atas ugutan bunuh itu selepas kandungan sepucuk surat menyatakan terdapat sebutir peluru ditujukan kepada Christian diperoleh.
Surat ugutan itu diperolehi akhbar Daily Telegraph.
Perbadanan Penyiaran Australia menyatakan kakitangan syarikat induk stesen radio 2Day FM, Southern Cross Austereo telah menerima pelbagai ugutan sepanjang minggu ini.
“Polis sedang melakukan siasatan berhubung ugutan yang dibuat terhadap kedua-dua penyampai radio itu,” kata jurucakap polis New South Wales.
“Para detektif polis merampas beberapa pucuk surat ugutan. Mereka sedang menjalankan siasatan dan sedang cuba mengenal pasti dari mana datangnya surat-surat itu,” tambahnya.
Akhbar tersebut melaporkan, berpuluh-puluh kakitangan di syarikat penyiaran itu telah dipindahkan ke sebuah hotel disebabkan faktor keselamatan dan kira-kira 10 eksekutif dikawal seorang pengawal peribadi.
Kedua-dua penyampai radio itu kini menjalani sesi kaunseling selepas kejadian tragis itu.
Stesen radio itu sebelum ini turut berjanji untuk menyumbang wang sebanyak AS$523,600 (RM1.6 juta) bagi membantu keluarga jururawat tersebut.
Bagaimanapun, seorang ahli parlimen Britain, Keith Vaz menyatakan bahawa pihak radio tersebut masih belum memberi bantuan yang secukupnya untuk membantu keluarga jururawat berkenaan. – Agensi




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers