Robbie Williams
Berdiri di suatu ruang khas bersama ribuan peminat yang menyaksikan Konsert Take The Crown adalah ruang terbaik bagi menikmati sendiri kehebatan Robbie.
Hakikatnya, Robbie masih hebat dan kekal bertenaga walaupun sudah lebih sedekad menghiburkan peminatnya.
Seramai mana penyanyi muda hari ini sekali pun, ia bukan jaminan untuk menenggelamkan bintang popular berusia 38 tahun ini kerana puluhan ribu yang hadir menyaksikannya menjadi satu bukti - Robbie Williams legenda baru Britain.
Namun entah apa punca dan alasannya, penyanyi kelahiran Stoke-on-Trent, Staffordshire, England yang pernah terkenal dengan sembilan album hebatnya ini tiba-tiba diketepikan stesen radio popular England, Radio 1.
Kononnya selepas berdekad membina empayar sejak zaman Take That dan kemudiannya tampil dengan kerjaya solo, nama Robbie dikatakan tidak lagi relevan dengan perkembangan industri muzik di England.
Bukan sekadar muzik dan perjuangan melodinya, penampilan penyanyi yang terkenal dengan lagu Better Man ini dikatakan sudah jauh ketinggalan menyebabkan stesen radio di bawah naungan BBC ini tidak langsung memutarkan lagu-lagunya.
Bagaimanapun peluang berdiri di depan lebih 20,000 peminat pada konsert jelajah Take The Crown sempena kehadiran album terbarunya, membuktikan penyanyi yang nama sebenarnya, Robert Peter Williams ini masih ada ruang di hati peminat muzik dunia.
“Walaupun tidak mendapat sokongan dan bantuan lagi dari Radio 1, album Take The Crown masih berjaya meletakkan single saya, Candy di tangga teratas kesemua carta muzik Eropah selain berjaya terjual lebih sejuta unit dalam masa yang singkat.
“Lihat saja malam ini, anda semua hadir kerana ingin berhibur bersama saya dan pastinya kerana kesemua koleksi lagu-lagu saya membangkitkan nostalgia kepada anda.
“Justeru, adakah saya tidak lagi relevan untuk terus berkarya?” katanya secara berseloroh kepada peminat.
Robbie yang tampil bertenaga pada malam ketiga bagi konsert jelajah Take The Crown itu akui dia tidak kecewa apabila diketepikan sebegitu oleh Radio 1, sebaliknya menyifatkan senario itu sebagai pembakar semangat untuknya terus berusaha dan mengukuhkan lagi namanya dalam dunia hiburan.
“Tiga malam beraksi di O2 Arena ini benar-benar memberikan saya perspektif dan nafas baru kepada diri saya. Anda semua adalah sumber inspirasi buat saya,” katanya yang turut mengumumkan konsert jelajahnya untuk 2013 di seluruh Eropah bermula Jun hingga Ogos depan.
Jelasnya lagi yang begitu bijak berjenaka, bagaikan mimpi apabila dia kembali menghiburkan peminat selepas beberapa tahun menumpukan kepada pembikinan album dan perancangan lain.
Bukan saja kembali mengubati rindu peminat malah tambahnya, konsert Take The Crown bagai sebuah cenderahati buat setiap seorang yang hadir.
“Sejak kegemilangan Take That lagi, peminat adalah semangat dan inspirasi buat saya. Lantas berpeluang berdiri di atas pentas dengan barisan pemuzik terbaik, menyanyikan kesemua lagu-lagu hit termasuk dari album terbaru Candy adalah sebuah mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah menyanyi bersama, mengimbau segala saat manis dan menari hingga ke akhir lagu,” katanya yang sinonim dengan gaya lincah.
Malam itu Robbie menyanyikan kesemua lagu hit termasuk Rock DJ, Kids, Supreme, Let Love Be Your Energy, Eternity/ The Road To Mandalay, Better Man, Somethin’ Stupid, Feel, Come Undone, Millennium, No Regrets, Strong dan She’s The One.
Robbie turut menggegarkan O2 Arena apabila mengalunkan single terbarunya, Candy yang dipetik dari album Take The Crown.
Di sebalik jeritan ribuan peminat yang memenuhi setiap ruang dalam O2 Arena dengan mainan lampu dan gimik yang begitu meriah, konsert Take The Crown boleh dianggap sebagai suatu biografi sentimental buat Robbie secara peribadi.
Meskipun kata-katanya berlapik jenaka ketika di atas pentas, Robbie pernah meluahkan perasaannya dalam temubual yang diaturkan lebih awal bersama media.
“Selepas lebih sedekad di sini, membina nama dan muzik, saya melalui 1001 kenangan dan peristiwa. Namun itulah pengalaman yang akhirnya memberikan pengajaran bagi terus mematangkan saya. Sejak kisah disingkirkan Take That hinggalah usaha saya bangkit dengan kerjaya solo, semuanya adalah cerita yang saya simpan dengan kemas.
“Malam ini adalah terjemahan kepada semua perasaan itu apabila saya meraikan album terbaru, Take The Crown yang menampilkan lagu Candy yang mana sentuhan bersama bekas anggota Take That, Gary Barlow. Itulah yang manis dan indahnya album ini jika ada yang bertanya kerana ia begitu peribadi buat saya.
“Kiranya saya berpeluang kembali bersama kenangan Take That yang membesarkan saya dan bekerja semula dengan Gary Barlow yang sudah saya anggap seperti saudara sendiri,” katanya.
TRIVIA ROBBIE WILLIAMS
0 comments:
Post a Comment