Thursday 8 September 2016

Filled Under:

Melaka Utd. mahu berpesta awal


MELAKA United berada dalam momentum terbaik untuk memastikan kemenangan apabila turun berdepan pencabar utama mereka Johor Darul Takzim II (Johor DT II) di Stadium Hang Jebat esok bagi merangkul kejua­raan Liga Premier 2016 lebih awal.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, para pemain menunjukkan semangat yang tinggi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan tidak mahu melepaskan peluang ber­aksi dalam perlawanan penting itu.

Beliau berkata, sudah pasti turun di hadapan penyokong setia Hijau Putih, kemenangan menjadi misi penting walaupun mereka hanya memerlukan satu mata untuk memastikan kejuaraan menjadi milik skuad Sang Kancil yang kini mempunyai kelebihan lapan mata berbanding pasukan lawan.

“Melaka United tidak mahu lepas pe­luang di depan mata ini dan sebolehnya kita mahu raikan kejuaraan lebih awal.

“Kapten pasukan, Ilija Spasojevic yang baru pulih daripada kecederaan tangan kiri juga dilihat amat bersemangat dalam latihan dan menyatakan kesediaannya untuk disenaraikan.

“Pemain pertahanan, Khair Jones yang kini berada dalam kem kebangsaan turut teruja untuk turun membantu rakan-rakannya,” kata ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun Mohd. Yusoff berkata, senarai pemain yang bakal beraksi bergantung pada perancangan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris.

“Ia bergantung pada kecergasan mereka selain perancangan dan taktikal jurulatih untuk menentukan siapa yang bakal disenaraikan nanti,” katanya.

Melaka United memimpin Liga Premier dengan 48 mata, dibezakan lapan mata berbanding pencabar, Johor DT II, manakala PKNS FC di kedudukan ketiga dengan 39 mata.




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers