Wednesday 17 April 2013
Filled Under:
kisah misteri dan seram
Kisah Seram : Arwah Pak Misan Muncul di Kampung Pandan Seri..
Posted By:
zamri spoon
on 01:30
Kampung Pandan Seri sedang musim durian. Sepanjang musim itu Bang Akob tidur di pondok duriannya, beberapa meter dari tanah perkuburan Islam kampung itu. Seperti biasa, menjelang tengah malam dia pasti menyusur dusunnya memungut durian. Kalau tidak, sudah pasti duriannya akan dipungut budak-budak dadah yang sering merayau-rayau di dusun orang tidak kira waktu.
Malam itu, angin mendesah. Sekali sekala kilat memancar. Durian amat rahat. Di setiap penjuru dusun kedengaran bunyi durian gugur. “Kalau tak cepat pungut, habislah pagi esok…” kata Bang Akob dalam hati. Sambil menggalas bakul rotan, dia menyuluh di kawasan pangkal pokok yang ada dua puluh batang itu. Kebanyakan pokok durian di dusun Bang Akob pokok tua. Dusun itu harta pusaka peninggalan ayahnya.
Angin malam itu terus mendesah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang perlahan. Ketika bertiup kencang, meliang-liuk kebanyakan dahan pokok dibuatnya. Ketika itu juga kedengaran bunyi durian gugur bertambah banyak. Hati Bang Akob kepalang gembira. Rezekinya esok hari pasti bertambah, fikirnya.
Sebiji demi sebiji durian dipungut dan dimasukkan ke dalam bakul rotan. Hati Bang Akob begitu lega. Duriannya tak sempat dipungut Mat Gian – panggilan biasa kepada budak-budak penagih dadah di kampungnya.
Bagaimanapun sesampai saja di pangkal sebatang durian berhampiran tanah perkuburan itu, Bang Akob terkejut. “Eh, dah datang pun dia…nasib baik aku sudah habis pungut…tak dapatlah dia,” bisik hati Bang Akob sebaik saja dia ternampak satu lembaga di tepi dusunnya.
“Fasal apa dia menuju ke kubur pula?” Kata Bang Akob kehairanan. Bang Akob bergerak menyusur ke penjuru tanahnya. Kemudian dia menyembunyikan diri di sebalik sebatang pokok besar. Lembaga itu bergerak perlahan sambil menarik seutas tali bubut kira-kira dua depa panjangnya. Tanpa membuang masa Bang Akob menyuluh. Suluhannya tepat ke wajah lembaga itu. Sekali lagi Bang Akob terkejut apabila wajah lembaga itu menyerupai orang yang dikenalinya.
“Eh, aku kenal…” bisik hati Bang Akob. “Pak Misan…!” Bang Akob melaung sekuat-kuatnya memanggil Pak Misan, orang tua kampung yang sering menjadi temannya berbual.
Bagi penduduk Kampung Pandan Seri, Pak Misan adalah seorang tokoh. Dia terkenal pendekarnya. Selain itu, dia juga tempat penduduk lelaki meminta ubat untuk menguatkan tenaga tertentu.
Tiada sebarang jawapan daripada lembaga itu. Ia berjalan terus sambil mengheret tali bubut. Tidak beberapa minit satu kejadian mengejutkan Bang Akob. Sebaik-baik saja dia membongkok memungut durian dan kemudian tegak semula, lembaga berwajah Pak Misan hilang dalam gelap malam itu.
Puas juga Bang Akob menyuluh di setiap penjuru dusun duriannya, namun lembaga itu tetap tidak kelihatan lagi. Bang Akob melaung memanggil Pak Misan tetapi tidak ada sebarang jawapan. Dia mula takut. Angin bertiup lebih kencang. Daun-daun berguguran. Kilat memancar sekali-sekala. Bunyi burung hantu di kejauhan menambahkan seram suasana ketika itu.
Bang Akob betul-betul ketakutan. Dia tidak mempedulikan lagi durian yang gugur. Apa yang ada di bakulnya, itu saja yang dibawa pulang ke pondok. Langkahnya begitu cepat. Hatinya bertanya sendiri: ”mengapa Pak Misan merayau di tanah kubur pada tengah-tengah malam begini?”
Menjelang subuh, Bang Akob pulang ke rumah membawa durian yang penuh sarat di dalam bakul di belakang motosikalnya.
Sebaik saja sampai di kepala simpang, Bang Akob terkejut besar ramai penduduk berkumpul di situ. Sebuah Land Rover hitam juga ada di situ.
“Eh apa halnya?” Tanya Bang Akob apabila ternampak kaki orang terjulur dari belakang Land Rover hitam itu.
Pagi itu Kampung Pandan Seri gempar secara tiba-tiba. Seorang penduduk, Mat Jami menemui mayat Pak Misan terlentang di bangsal di belakang rumahnya. Terpandang saja mayat itu, Mat Jami patah balik ke masjid. Dia ingin memberitahu jemaah masjid yang belum pulang selepas menunaikan solat subuh.
Ketua kampung dan Pak Imam masih di masjid. Mereka dan beberapa jemaah terkejut dengan berita yang dibawa Mat Jami. Tanpa membuang masa, mereka beredar ke rumah Pak Misan, Pak Misan sudah kaku di tepi bangsal. Mayatnya dikerumuni semut halus.
“Eh, apa hal Pak Misan memegang tali?” Tanya Pak Imam. Semua yang ada menerpa menghampiri mayat Pak Misan. Soalan itu tidak berjawab. Tidak ada seorang pun di situ yang tahu mengapa seutas tali bubut panjang dua depa itu ada di sisi Pak Misan.
“Kemaskan rumah Pak Misan,” arah Tuk Ketua Kampung. “Seorang pergi beritahu polis.”
Beberapa orang segera naik ke rumah Pak Misan. Pintu depan dan semua tingkap rumah itu terbuka. Mereka mengemas di sana sini dan membentang tikar tempat Pak Misan dibaringkan nanti.
“Kemudian kamu beritahu semua anak Pak Misan,” sambung Tuk Ketua Kampung apabila salah seorang penduduk bersedia dengan motosikalnya untuk ke balai polis kira-kira lima kilometer dari kampung itu.
Dalam masa yang singkat saja kematian Pak Misan tersebar ke seluruh kampung. Orang ramai mulai datang kerana ingin melihat keadaan Pak Misan yang dikatakan misteri itu.
Polis datang dan mengambil mayat Pak Misan untuk dibedah siasat. Orang kampung terus mengerumuni Land Rover hitam. Ketika itu Bang Akob sampai dan dia berhenti di situ bersama-sama dengan orang ramai. Di situ juga dia mendengar cerita mengenai mayat Pak Misan terbujur memegang seutas tali.
“Pak Misan memegang tali?” Tanya Bang Akob sendirian. Keanehan itu timbul kerana dia sendiri terserempak dengang lembaga menyerupai Pak Misan di kebun durian. Dia juga kelihatan mengheret seutas tali.
Selesai urusan pengkebumian Pak Misan, cerita misteri kematian Pak Misan tidak habis di situ. Ia merebak terus. Ramai yang bersimpati dengan arwah Pak Misan namun ramai juga yang mengaitkannya dengan pelbagai kisah timbul ketika Pak Misan masih hidup.
Seminggu selepas kematian Pak Misan, timbul pula kejadian yang lebih buruk. Kampung Pandan Seri ditimpa suasana yang menakutkan. Menjelang senja saja, terdengar suara terpekik terlolong kononnya terpandang lembaga mengheret tali berjalan di sekitar rumah Pak Misan. Yang mendakwa nampak hanya seorang dua, tetapi ceritanya cepat merebak sampai ke telinga anak remaja dan suri rumah.
Suatu senja, beberapa lelaki agak tua berjalan melintasi rumah arwah Pak Misan yang tinggal kosong sejak kematiannya. Sebaik saja sampai di depan rumah itu, mereka ternampak jelas satu lembaga menyerupai Pak Misan.
Sebelum meninggal, di situlah biasanya Pak Misan berdiri menunggu kawan-kawannya bersama ke masjid.
Hari demi hari, semakin ramai orang terserempak dengan lembaga itu. Yang anehnya tiap kali bertemu lembaga orang tua itu sedang mengheret tali.
Bukan itu saja,tali bubut itu juga melahirkan satu lagi misteri. Beberapa orang suri rumah pernah terserempak tali itu berlengkar di depan pintu rumah.
Kejadian itu sesungguhnya amat menakutkan penduduk Pandan Seri. Langkah mengatasinya diambil. Tuk Ketua Kampung memanggil anak buah berkumpul mencari jalan menghilangkan jelmaan itu. Ramai penduduk kampung bersimpati dengan arwah Pak Misan.Mereka tidak mahu jelmaan lembaga itu dikaitkan dengan Pak Misan. Sudahlah ketika ada hayatnya dulu hidup sebatang kara, ditinggal anak dan matinya pula menjadi sedemikian rupa.
“Baiklah, biar saya cuba bercakap dengan lembaga itu,” kata Pak Imam membuat cadangan.
“Saya nak ikut Pak Imam,” celah seorang ketika berlangsung pertemuan penduduk di masjid kampung itu.
“Biar saya pergi seorang diri…” jawab Pak Imam, ”saya merayu dengan makhluk halus itu nanti supaya jangan mengganggu penduduk kampung kita.”
Ramai orang tua di kampung itu percaya kononnya ketika hayatnya dulu, Pak Misan banyak menyimpan ilmu batin, termasuklah ilmu mempertahankan diri dan penggerun. Banyak makhluk halus mendampinginya. Akibatnya kehidupan Pak Misan menjadi tidak tenteram, terutama pada penghujung hayatnya.
Pada usia penghujung enam puluhan, Pak Misan kematian isteri. Dia tinggal kesepian. Semua anaknya sudah berkeluarga dan tinggal jauh dari rumah orang tua itu. Akhirnya, kira-kira enam bulan hidup membujang dan dihimpit pelbagai tekanan perasaan, Pak Misan menyuarakan rasa hati kepada semua anaknya untuk berkahwin lagi.
“Tak boleh ayah… kalau ayah mati nanti senang-senang saja janda ayah dapat harta… kami dapat apa?”kata anak sulung. Anak yang lain juga sekata.
Mendengar itu, Pak Misan tunduk saja. Air matanya menitis ke lantai. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul… Pak Misan menahan hati tidak terhingga. Semua anaknya mementingkan diri tanpa memikirkan keadaan dan perasaan si ayah.
Agak lama juga Pak Misan bergelut dengan perasaan. Rayuan dan pujukan syaitan tidak putus-putus menyerang Pak Misan. Dengan sedikit iman di dada dapat juga Pak Misan melawannya, namun sampai bila?
Suatu hari pujukan syaitan bertambah kuat. Ia menabur janji yang indah-indah dengan syarat Pak Misan mengikut kehendaknya. Pak Misan bergelut lagi dengan hasutan itu. Akhirnya dia sudah mencapai seutas tali, tetapi dia masih mampu melawan pujukan itu. Dia rebah di bangsal di belakang rumah.
Sejak kematian Pak Misan, timbulah pelbagai cerita mengenainya. Ada yang menamakan jelmaan lembaga itu sebagai ‘hantu tali gantung’. Begitu buruknya sekali fitnah yang dicipta sesetengah anggota masyarakat kampung itu.
“Assalamualaikum…!”seru Pak Imam di depan rumah Pak Misan. Tiada jawapan. “Sah ini syaitan… ia menyerupai… jahatnya syaitan jahanam!” kata Pak Imam dalam hati. Kemudian dia membaca ayat suci khusus menghalau syaitan. “Sudah… Pak Misan sudah meninggal… ini bukan dunianya lagi… pergi!”
Selesai di situ Pak Imam mengajak beberapa penduduk kampung pergi ke kubur Pak Misan. Mereka membaca Al-Fatihah dan Yasin di samping memohon doa agar roh Pak Misan sentiasa dalam keadaan dirahmati Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment