Monday 8 July 2013

Filled Under:

Awas ! Penyakit Beguk Boleh Sebabkan Mandull


BENGKAK di pipi sehingga ke bahagian rahang yang dikenali sebagai penyakit beguk boleh membuatkan penghidapnya berasa malu.

Beguk yang juga dikenali sebagai parotitis epidemik menyebabkan bengkak pada kelenjar air liur terutamanya di bahagian hadapan dan bawah telinga.

Namun, kita jangan keliru dengan masalah kelenjar parotid yang nampak seperti beguk, kerana ia juga boleh membengkak atau mengalami keradangan disebabkan faktor lain.
Menurut Pensyarah Kanan dan Pakar Otorinolaringologi, Universiti Sains Malaysia, Kota Bahru, Kelantan, Dr. Irfan Mohamad, beguk berpunca daripada jangkitan paramiksovirus.
“Virus itu boleh berjangkit secara langsung melalui batuk, bersin atau melalui mata, hidung serta mulut.

“Perkongsian makanan dan minuman atau bekasnya dengan penghidapnya menyebabkan berlaku transmisi kerana terdapat percampuran air liur,” ujar Irfan.
Tambahnya, beguk merupakan penyakit yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak sebelum era vaksinasi.

“Sekiranya ia berlaku pada orang dewasa, komplikasinya mungkin lebih teruk seperti radang testis yang boleh menyebabkan kemandulan,” katanya.
Kadar komplikasinya juga akan meningkat seiring pertambahan usia si penghidap.
Kata Irfan, jika tidak dirawat secara intensif, jangkitan bakteria akan mengakibatkan berlakunya pengumpulan nanah dalam kelenjar.

Tanda spesifik

Contohnya, kanak-kanak mungkin sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kesan susulan, tetapi bagi seorang lelaki dewasa yang menghidap beguk, ia mungkin berakhir dengan kemandulan.

Salah satu komplikasi parotitis viral ini ialah ia merebak ke organ lain.
“Antara organ yang sering dijangkiti ialah sistem pembiakan lelaki dan wanita.
“Jangkitan pada testis akan menyebabkan orkitis manakala jangkitan pada ovari mencetuskan ooforitis. Dalam sesetengah kes, jangkitan pada organ itu akan meningkatkan risiko kemandulan,” katanya. 

“Jangkitan lain ialah meningitis (radang selaput otak), pankretitis (radang pankreas), hilang pendengaran jenis sensorineural (akibat kerosakan saraf), dan keguguran janin walaupun jumlahnya kecil,” katanya.

Irfan berkata, tanda-tanda spesifik penghidap penyakit beguk ialah sakit dan bengkak pada kawasan kelenjar parotid malah ia boleh bertambah bengkak jika berlaku aktiviti mengunyah.

“Mengambil makanan yang masam akan menggalakkan sekresi air liur dari kelenjar tersebut lantas meningkatkan rasa sakit kerana kelenjar dipaksa bekerja sedangkan ia mengalami keradangan.

“Selain itu, terdapat tanda-tanda umum seperti demam dan sakit kepala, muntah, di samping simptom jangkitan saluran pernafasan seperti sakit tekak, kering mulut dan sakit telinga,” kata Irfan.

Pencegahan terbaik adalah dengan mendapatkan suntikan vaksin beguk, demam campak dan rubela yang dikenali sebagai MMR.

Suntikan itu perlu diberikan kepada kanak-kanak. Ia juga telah dimasukkan ke dalam jadual imunisasi di Malaysia.


Rawatan spesifik

SUNTIKAN MMR seawal umur setahun boleh mencegah seseorang daripada dijangkiti penyakit beguk. - Gambar hiasan

“Ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi yang secukupnya termasuklah vaksin mencegah beguk. 

“Suntikan itu diberikan kepada bayi berumur sekitar 12 bulan,” katanya.
Irfan memberitahu, terdapat beberapa pihak yang berpendapat, penggunaan garam, gula dan nila dapat mengubat penyakit beguk.

“Sebenarnya, tiada penyelidikan saintifik dilakukan untuk mengesahkan keberkesanan pengubatan penyakit beguk dengan pengambilan bahan-bahan tersebut.
“Namun, mungkin bahan tersebut memberikan sedikit kelegaan sama seperti air batu yang bersifat menyejukkan.

“Nila mungkin memberikan kesan penyejukan terutamanya dari sudut psikologi.
“Beguk berpunca daripada jangkitan virus. Justeru, rawatan yang diberikan adalah dengan mengambilan ubat tahan sakit dan mengurangkan demam,” ujarnya.

Jika komplikasi berlaku sehingga merebak ke organ lain, rawatan tambahan yang spesifik perlu dilakukan ke atas pesakit.

“Tiada rawatan spesifik setelah seseorang itu dijangkiti beguk.
“Rawatan yang diberikan hanyalah berbentuk sokongan atau rawatan terhadap komplikasi yang timbul akibat jangkitan itu.

“Imunisasi MMR merupakan kaedah pencegahan yang terbaik setakat ini kerana suntikan itu telah diberikan kepada bayi yang berumur sekitar setahun,” ujarnya.sumber:kosmo





0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers