gambar hiasan |
BINTULU 6 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas terkena tembakan selaras senapang patah yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh sepupunya sendiri berusia 12 tahun ketika mereka bermain senjata api itu di sebuah rumah teres di Kampung Pekan Tatau Baru dekat sini petang semalam.
Kejadian malang itu berlaku pada pukul 6.30 petang semasa mangsa, Mohamad Fazmi Zamli, sepupunya dan adik kepada sepupunya tersebut yang berusia sembilan tahun bermain di dalam bilik tidur ibu bapa kedua-dua beradik berkenaan.
Ketika insiden itu berlaku, ibu bapa dua beradik berkenaan tiada di rumah manakala Mohamad Fazmi yang tinggal berdekatan datang ke situ untuk bermain.
Menurut jurucakap polis, semasa ketiga-tiganya bermain, sepupu mangsa terjumpa senapang patah tidak berpeluru milik bapanya yang bekerja sebagai buruh lalu mengambilnya untuk bermain.
"Kanak-kanak itu menarik picu senapang dan menghalakan kepada mangsa beberapa kali sehinggalah dia mengambil sebutir peluru dan memasukkannya ke dalam laras senjata api tersebut.
"Sebaik sahaja menarik picu, senjata api itu meletup dan tembakan tersebut mengenai dada kiri mangsa sehingga menembusi bahu kanannya dalam jarak kira-kira dua meter," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment